Mak Yong
Tarian Mak Yong yang berasal dari Patani di selatan Thailand dicipta untuk hiburan kerabat Diraja wanita, permaisuri serta puteri sewaktu ketiadaan kerabat diraja lelaki. Tarian ini menggabungkan drama romantis, serta tarian dan nyanyian tradisional dengan gaya yang menawan, yang mengisahkan zaman kegemilangan kesultanan Melayu.
Kuda Kepang
Tarian Kuda Kepang telah dibawa oleh pendatang dari Jawa ke Negeri Johor. Para penari menggunakan kuda kepang untuk menggambarkan kisah kejayaan perjuangan suci Islam, diiringi paluan gendang, gong dan angklung.
Zapin
Pengaruh Islam ke atas tarian tradisional Malaysia boleh dilihat dengan ketara dalam tarian Zapin iaitu sebuah tarian yang terkenal di negeri Johor. Tarian ini yang diperkenalkan oleh para mubaligh dari Timur Tengah, pada mulanya digunakan dalam amalan berzikir yang bertujuan menyebarkan pengetahuan mengenai sejarah tamadun Islam.
Tarian Lilin
Sebuah tarian yang dipersembahkan oleh penari wanita sambil menatang lilin di dalam piring kecil di atas telapak tangan mereka, dan memaparkan gerak-geri yang penuh dengan kelembutan.
Tarian Singa
Tarian ini yang lazimnya dipersembahkan ketika perayaan hari Tahun Baru Cina, adalah merupakan persembahan yang penuh bertenaga dan menghiburkan. Menurut lagenda, singa adalah satu-satunya haiwan yang boleh menghalang Nian iaitu sejenis haiwan dongeng yang selalu menyerang negara China dan mengorbankan manusia pada hari sebelum Tahun Baru Cina. Tarian naga adalah sebuah tarian bersemangat yang sentiasa diiringi paluan gendang tagu Cina, dan simbal, serta memerlukan keberanian dan penataan gerak tarian yang tepat diantara penari-penarinya.
India Bharata Natyam
Tarian klasik India ini bagaikan sebuah puisi dalam gerak tari. Tarian yang dramatik dan bersemangat ini berdasarkan kisah epik India purba, dan memaparkan lebih dari 100 gerak tarian dan gaya badan. Memandangkan tarian ini memakan masa yang lama untuk dikuasai, terdapat sesetengah penari kanak-kanak yang mula berlatih pada umur semuda lima tahun.
Bhangra
Banghra memaparkan tarian serta muzik masyarakat Sikh. Pada mulanya Banghra adalah sebuah tarian menyambut musim menuai, tetapi kini ianya memainkan peranan dalam pelbagai sambutan kemasyarakatan termasuk majlis perkahwinan dan sambutan Tahun Baru. Tarian ini lazimnya adalah berdasarkan tema-tema romantis, di mana nyanyian serta tarian yang diiringi paluan dholo, iaitu sejenis gendang bermuka dua, menjadikan tarian Banghra sangat menghiburkan.
No comments:
Post a Comment