Negara Malaysia mempunyai ramai rakyat yang berbilang kaum. Oleh itu, tidak mustahil bahawa Malaysia mempunyai pelbagai jenis permainan-permainan tradisional. Setiap kaum dan agama mempunyai permainan mereka yang tersendiri. Penduduk Malaysia mempunyai semangat kemasyarakatan teguh yang tercermin dalam permainan tradisional serta aktivti kemasyarakatan mereka, seperti yang boleh dilihat sebelum atau selepas perayaan menuai serta majlis perkahwinan.
Sepak Takraw
Sepak Takraw dikenali sebagai sepak raga. Sepak takraw merupakan sebiji bola tradisional yang diperbuat dari lilitan bilah kulit buluh atau bamboo yang ditimang menggunakan sebarang anggota tubuh badan kecuali tangan dan lengan. Terdapat dua jenis sepak takraw iaitu bulatan dan jaring. Sepak raga bulatan adalah bentuk asli permainan ini di mana pemain berdiri dalam bulatan dan berusaha selama mungkin menimang bola tanpa terjatuh ke tanah. Sepak takraw jaring adalah permainan moden yang mana bola tersebut ditujah melepasi jaring yang tinggi ke sebelah pihak lawan.
Wau
Wau adalah sejenis layang-layang tradisional yang sangat popular di pantai timur Malaysia, terutamanya negeri Kelantan. Layang-layang tradisional yang kadangkala sebesar manusia ini sepanjang 3.5 meter dari kepala ke kaki pada asalnya diterbangkan setelah selesai musim menuai padi. Oleh kerana bentuknya seakan-akan huruf ‘wau’ Jawi, ianya dipanggil wau. Wau yang direka dengan pelbagai rekabentuk, serta warna dan corak yang cerah, bermotifkan tumbuhan dan haiwan sememangnya indah dan menawan hati.
Gasing
Gasing berbentuk seakan-akan sebuah pinggan yang tebal, dan lazimnya seberat 5kg atau 10 paun. Permainan gasing memerlukan kekuatan, penyelarasan pergerakan, serta kepakaran. Gasing selalunya dimainkan selepas berakhirnya musim menuai. Gasing dilempar dengan menyentap seutas tali panjang yang telah dililit di kelilingnya. Ketika gasing ini masih berputar, ia dicedok dari atas tanah menggunakan sekeping kayu pipih yang berliang di tengahnya, dan dialihkan ke sebatang tiang rendah yang bertampuk besi. Gasing boleh berputar hingga dua jam lamanya jika ia dilempar dengan betul.
Wayang Kulit
Wayang kulit adalah sejenis persembahan pentas yang menggabungkan kemeriahan pertunjukan patung dengan kesederhanaan gaya pertunjukan wayang kulit. Patung wayang kulit yang leper diperbuat daripada kulit lembu atau kerbau yang diukir halus dan dicat tangan. Setiap patung mempunyai rupa dan bentuk watak manusia yang tersendiri, dan mempunyai bahagian tangan dan kaki yang bersendi. Pertunjukan wayang kulit dipersembahkan oleh seorang Tok Dalang dan lazimnya menceritakan kisah epik sejarah Hindu.
Congkak
Congkak adalah sejenis permainan berasaskan matematik yang dimainkan oleh kaum wanita zaman dahulu dengan hanya menggunakan lubang-lubang kecil yang digali di atas tanah, serta biji asam jawa. Kini congkak dimainkan menggunakan sebongkah kayu yang berlubang lima, tujuh atau sembilan berkembar, serta dua buah lubang besar di kedua hujungnya yang dipanggil ‘rumah’. Congkak dimainkan menggunakan kulit siput, guli, batu kecil atau biji asam jawa, dan memerlukan dua pemain.
Sepak Manggis
Sepak manggis adalah permainan unik yang bertempat di luar rumah untuk hiburan penduduk Bajau dan Iranum di Sabah. Pemain berdiri di dalam bulatan menghadap satu sama lain dan cuba memukul bekas bunga manggis yang digantung pada tiang setinggi 10 meter. Pemenang dihadiahkan dengan wang, barangan atau makanan yang terkandung di dalam bekas tersebut.
http://www.tourism.gov.my
http://www.tourism.gov.my
No comments:
Post a Comment